Digital clock

Sunday, June 21, 2015

KENANGAN UMRAH DI BULAN MEI 2015 - IMPIAN TERINDAH DALAM HIDUP INI

Alhamdulillah... Syukur yang tidak terhingga kerana dengan Izin-Nya, saya dan keluarga dapat mengerjakan umrah pada 1-12 Mei 2015. Ucapan terima kasih juga kepada travel agensi Punsu Travel & Tour Sdn. Bhd, Teluk Intan, Perak  (Ust Wan - 012 5198221) dan keluarga saya yang bekerjasama sepanjang umrah ini berlangsung. 

Sebelum saya meneruskan kata-kata, saya ingin memaklumkan bahawa tujuan penulisan kali ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, apatah lagi untuk bermegah dengan apa yang telah saya miliki. Saya mohon anda bacalah dengan hati terbuka, jika ada yang baik ambillah sebagai pedoman dan yang buruk jadikan pengajaran... Semoga kita semua mendapat keampunan dari Allah...

Setiap insan pastinya mempunyai impian. Impian terbesar dalam hidup saya adalah ingin mengerjakan umrah bersama kedua ibu bapa. Satu penghargaan dan syukur teramat kepada Allah kerana memakbulkan impian saya yang satu ini. Siapa sangka dihujung usia emas emak & abah, saya diberi kesempatan memimpin tangan mak dan abah mengerjakan tawaf dan sai bersama-sama. Tidak dapat saya gambarkan perasaan ini apabila dapat melihat air mata mak dan abah menangis di hadapan Kaabah & mengucapkan syukur kerana masih berpeluang menjejakkan kaki di sana lagi.

Kira-kira 8 bulan yang lalu, ketika sedang berehat bersama mak, sambil memegang tangan mak yang penuh dengan urat-urat yang timbul, saya katakan padanya. "Mak... doakan saya dan kakak murah rezeki dan mak mesti sentiasa makan ubat supaya lutut mak cergas kerana saya dan kakak ingin membawa mak dan abah menunaikan umrah sekali lagi. Dia terdiam tanpa berkata apa-apa sambil merenung tepat wajah saya. Dia gembira tetapi ada raut sedih di wajahnya. Dia khuatir bagaimana dia akan menunaikan umrah dengan sakit lutut yang dialaminya. Sambil berseloroh saya katakan padanya, jika lutut mak masih sakit kami akan mengendongnya asalkan kita dapat mengerjakan umrah bersama-sama.

Ketika mak memaklumkan kepada abah tentang hajat tersebut, abah yang mahu melelapkan mata mahu tidur, terbangun dan mengucap syukur dan terlalu gembira & terus berdoa. Katanya tidak lagi dia membayangkan akan datang ke sana lagi selepas kira-kira 10 tahun lalu mereka pernah mengerjakan umrah  dan menunaikan haji kira-kira 22 tahun yang lalu. Apatah lagi dia sudah tidak secergas dahulu. 

Bulan demi bulan berganti masa, lutut mak masih seperti dulu. Sakitnya hanya dia yang merasainya. Pelbagai ubat sudah kami cuba untuk mengurangkan sakitnya. Namun, tiada yang berubah. Tanpa kami rancang, kakak sulung memaklumkan terdapat kekosongan yang banyak untuk menunaikan umrah pada bulan Mei dan sekiranya kami mahu mereka akan membuat tempahan. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk menunaikan umrah pada tarikh tersebut iaitu lebih kurang 2 bulan sebelum tarikh berkenaan.
 

1 Mei 2015 (Jumaat)

Inilah harinya saya akan berangkat meninggalkan suami & anak untuk mengerjakan umrah. Tepat jam 3.15 petang (waktu Malaysia) kami berangkat menuju ke Jeddah. Sepanjang penerbangan selama 8 jam, saya cuba untuk tidak melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Namun, tidak saya nafikan ada masanya saya juga menonton tv yang disediakan di hadapan kerusi. Jam 7 malam (waktu Jeddah) kami tiba di Lapangan Terbang Jeddah. Ketibaan kami di situ tidak seperti gambaran saya. Suasanyanya tidak sibuk,  Kelihatannya hanya terdapat 2 atau 3 rombongan sahaja yang ada ketika itu. 

Selepas selesai urusan pemeriksaan kami mengerjakan Solat Jamak Taakhir di airport bagi solat Magrib dan Isyak. Seterusnya lebih kurang jam 10 malam kami bergerak menuju ke Madinah menaiki bas. Disebabkan kepenatan dan malam yang gelap saya hanya tidur disepanjang perjalanan.

2 Mei 2015 (Sabtu) - 4 Mei 2015 (Isnin)

Ketibaan kami di Madinah pada jam 3 pagi membolehkan kami bersolat subuh di Masjid Nabawi pada jam 4.40 pagi (waktu Madinah). Jarang sekali dapat melihat suasana manusia berpusu-pusu ke masjid untuk mengerjakan solat subuh berjemaah. 

Untuk kemudahan mak mengerjakan umrah dan menghilangkan kerisauan sakit lututnya, kami  berkongsi membelikan mak kerusi roda. Setiap waktu solat, kami berganti-ganti menolak kerusi roda mak ke Masjid Nabawi. Kelihatannya dia sudah tidak bimbang lagi memikirkan kerumitan untuk mengerjakan tawaf di Baitullah kelak. Mak sudah biasa dengan kerusi rodanya, dari pintu bilik hotel terus ke tikar sembahyang Masjid Nabawi.



Pada malam ke-2 di Madinah, kami dapat menziarah Makam Rasullullah dan sahabat-sahabat Nabi. Dapat bersolat sunat di Raudah sangat-sangat mendamaikan jiwa. Terasa sangat dekat dengan Rasulullah walaupun tidak pernah menatap wajahnya. Tidak dinafikan, untuk memasuki Raudah kita perlu melalui tempoh masa yang lama dan menuntut kesabaran yang tinggi. Tambahan lagi, gelagat manusia dari Negara lain begitu agresif berbanding orang Asia. Disebabkan mak berkerusi roda, kami diberi laluan yang mudah dan singkat untuk menuju ke Raudah. Disitulah Allah beri kemudahan kepada kami sepanjang umrah ini berjalan. Kerusi roda mak bukanlah menyusahkan kami bahkan kemudahan untuk kami mengerjakan umrah sepanjang kami berada di Mekah & Madinah.



4 Mei 2015 (Isnin) - 11 Mei (Isnin)

Selesai solat zuhor (jamak Taqdim) dan asar kami bersiap berpakaian Ihram untuk menuju ke Mekah dan bermiqat di Biir Ali. Sepanjang perjalanan di dalam bas, saya duduk disebelah mak di kerusi paling hadapan. Duduk dihadapan memberikan kelebihan kepada saya untuk melihat pemandangan sepanjang perjalanan di Kota Madinah ke Mekah. Sekelilingnya hanyalah bukit-bukit yang berbatu tanpa ada tumbuh-tumbuhan. Terfikir di dalam hati bagaimana keadaan Rasulullah ketika hijrahnya ke Mekah melalui bukit-bukit ini. Dengan menaiki kenderaan juga kami mengambil masa 5-6 jam untuk sampai ke Mekah. Ketika bas kami memasuki Kota Mekah, saya yang duduk di kerusi hadapan dapat menikmati pemandangan hujan yang renyai-renyai turun membasahi Kota Mekah, saya rasakan hujan ini hujan rahmat yang menyambut ketibaan kami ke sana. Alhamdulillah...

Selepas check in hotel di Mekah jam 9 malam, kami terus bersolat magrib & isyak (Jamak Takhir) seterusnya berkumpul untuk melakukan tawaf & sai pertama kami di Mekah. Pengalaman menolak kerusi roda mak di Mekah tidak sama keadaannya seperti di Madinah. Di Madinah jalannya rata, tetapi di Mekah perjalanan dari hotel ke Masjidil Haram agak berbukit dan lebih kurang 300 meter perjalanannya. Namun, dengan kudrat wanita seperti saya, rasanya seperti 1 kilometer jauhnya. Saya memerlukan lebih tenaga untuk menolak kerusi roda mak. Kadangkala apabila sampai di masjid saya sudah kehilangan tenaga. Setiap kali menaiki bukit, mak mesti bertanya sama ada saya mampu menolaknya atau tidak. saya tidak mahu mak melihat kepenatan saya. Saya mohon supaya kepenatan yang saya lalui ini Allah gantikan ganjaran yang terbaik di syurga kelak. (Semoga Allah ampunkan saya).



Sukar untuk digambarkan perasaan saya ketika pertama kali melihat Kaabah. Perasaan sedih dan gembira bercampur baur dan seakan tidak percaya saya telah berada dihadapan Kaabah ini. Melakukan tawaf pertama sedikit menggusarkan kerana jika melanggar pantang larangnya, saya perlu membayar Dam dan bukan itu sahaja malah saya juga akan berdosa. Walaupun bergerak lambat kerana kegusaran itu, namun Alhamdulillah kami sekeluarga dapat menyempurnakannya sehingga ke masa bercukur (Tahallul). Lebih 2 jam 30 minit untuk menyelesaikan tawaf dan sai dan akhirnya Tahallul.

Untuk pertama kali kami melakukan tawaf dan Sai ini, mutawif kami dengan sendirinya menawarkan diri untuk membawa mak dengan kerusi roda. Mungkin ustaz faham keadaan akan bertambah kelam kabut, tambahan pula kami baru pertama kali menjejakkan kami disini & melakukan tawaf & sai sebetul-betulnya.

Ketika memulakan tawaf saya sempat memegang abah hingga ke 2 pusingan. Selepasnya saya tidak nampak lagi ke mana abah. Alhamdulillah, kakak & anak buah yang berjumpa dan memimpin abah sehingga 7 pusingan. Dan sepanjang sai' saya dan kakak menemankan abah dari Safa ke Marwah dengan 7 pusingan. Walaupun abah sudah tidak kuat lagi, tetapi semangatnya kuat dia berjalan dan berlari-lari anak (ketika tiba di lampu hijau) seperti tenaga orang muda. Ada saya mengajak abah minum air zam-zam tapi dia menolak. Kami selesai  berihram kali pertama tepat jam 1 pagi waktu Mekah.

Hari kedua selepas asar kami berpakaian Ihram dan bermiqat di Masjid Tanaim untuk berihram kali ke-2.

Hari ketiga kami di Mekah, Mutawif membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah menaiki bas menuju ke Gua Sur, Jabal Rahmah, Mudzalifah, Mina, Gua Hira' dan kami juga bermiqat di Jaranah untuk berihram kali ke-3.



Untuk hari-hari seterusnya kami dibenarkan melakukan aktiviti bebas sama ada untuk melakukan ihram umrah lagi atau tawaf sunat. 

Sekali lagi saya mengucap syukur kepada Allah kerana diizinkan untuk memimpin abah dan menyorong mak melakukan tawaf sunat. Berdiri disebelah abah dan mak sambil melihat air mata mereka yang mengalir serta mendengar doa-doanya sangat meruntum hati saya. Bahkan saya berjaya membawa abah dan mak (tanpa berkerusi roda) memasuki Hijri Ismail untuk melakukan solat Taubat. Sungguh-sungguh saya bersyukur kepada Allah kerana mempermudahkan saya melakukannya walaupun saya hanya seorang perempuan. Saya memeluk emak dan abah dari belakang sepanjang saya menuju ke Hijri Ismail. Niat saya hanya satu, jika ini adalah peluang terakhir untuk mak abah memasuki Hijri ismail, Izinkanlah Ya Allah, Permudahkanlah...

-Gambar Ihsan dari seorang sahabat yang menetap di Mekah-
 

Meniti hari-hari terakhir di Mekah lebih menambah sedih dihati saya. Setiap tawaf dan doa saya kepada Allah, saya mohon untuk terus menetap di sini. Bahkan apabila saya melelapkan mata, saya akan berdoa pada Allah agar saya tidak akan bangun lagi pada esok hari. Namun... hingga hari terakhir melakukan tawaf wida', Allah masih memberi saya nyawa untuk hidup.
Saya pasrah... saya percaya Allah pasti akan kabulkan doa saya suatu masa nanti. Saya perlu teruskan hidup kerana mungkin matlamat hidup saya belum selesai...

...."Saya ingin Muhammad menjadi anak yang soleh tetapi saya belum menyediakan keperluan untuk dia menuju ke jalan itu.
Saya ingin jadi muslim yang baik tetapi saya belum menjadi isteri, anak dan hamba Allah yang solehah.
Saya ingin mengadap Pencipta, tetapi hutang solat fardhu & puasa belum lunas saya langsaikan. Bahkan mungkin jua taubat saya belum cukup sempurna"...

Atas sebab-sebab inilah, saya percaya Allah belum izinkan untuk saya kembali...

..." Ya Allah, ku mohon untuk diriku & mereka yang membaca cerita ini agar suatu hari nanti kami akan menjejakkan kaki lagi ke rumahmu iaitu di Masjidilharam. Amin..."

UJIAN DI MEKAH

Saya ingin berkongsi 1 ujian yang menimpa saya & keluarga yang berlaku pada hari Jumaat. Sebagai seorang manusia yang banyak melakukan dosa, saya mengambil peluang di malam Jumaat yang penuh rahmat menghabiskan sepertiga Malam di hadapan Kaabah sehingga solat subuh. Saya hanya bersendirian ketika pulang dan bersarapan dan selepas itu saya mula melelapkan mata. 

Kira-kira jam 7 pagi waktu Mekah, kakak mengejutkan saya dan memaklumkan bahawa KERUSI RODA mak sudah HILANG ketika mereka mahu keluar bersolat Subuh. (Malam tadi kami meletakkannya di luar pintu bilik Hotel). Kakak terpaksa menggunakan kerusi roda yang sudah rosak rodanya (yang ditinggalkan berhampiran bilik hotel kami) untuk membawa Mak ke masjid dan sepanjang perjalanannya sangat menyukarkan kerana rodanya sudah bengkok. Walaupun dengan roda yang bengkok, kakak tetap menolak Mak hingga ke Masjidilharam. Saya percaya pasti sukar yang teramat untuk kakak menolak mak dalam keadaan sebegitu. Disebabkan itu, kakak terpaksa meninggalkan Mak di ruang masjid untuk meminjam kerusi roda di Hotel untuk membawa Mak pulang ke bilik Hotel. 

Saya  minta dia kakak bersarapan dahulu dan berehat kemudiannya sementara saya mencari kerusi roda untuk mengambil Mak. Kakak maklumkan kepada saya kedudukan terakhir mak untuk kami mengambilnya... Alhamdulillah, kami berjaya berjumpa mak di tempat yang dimaksudkan, di suatu penjuru di bahagian Mataf, Mak hanya duduk sambil berzikir melihat orang lalu dihadapannya melakukan tawaf.

Sebenarnya... kehilangan kerusi roda Mak ada kaitan dengan kesilapan saya ketika berada di Tanah Suci Mekah... Semoga Allah ampunkan dosa saya.

Di suatu pagi selepas solat Subuh (hari sebelumnya), saya menolak mak dari Masjidilharam ke bilik Hotel. Ketika saya sedang menolak mak, kakak meminta sedikit ruang untuk menolak kerusi roda mak juga dan saya telah berkata padanya.... "Tak Payahlah, Biar Saya Yang Menolaknya Saja".... Pada saya, kata-kata itu biasa sahaja, tetapi padanya saya telah menengkingnya dan dia terguris hati dengan kata-kata saya. Katanya, hanya saya saja yang mahu menolak mak, dia pun mahu pahala juga... 

Sungguh saya tidak sangka, rupanya perbuatan saya menolak kerusi roda Mak secara sendiri telah mengundang rasa kurang senang pada orang lain. Sungguh saya bukan tamak untuk mendapat pahala. Saya hanya memikirkan untuk membawa mak ke masjid dan tidak mahu menyusahkan kakak yang lain. Disebabkan hal ini, kakak tidak mahu berkata sepatahpun dengan saya selama pagi itu sehingga pagi esoknya (hari ketika kerusi roda hilang). Disebabkan hal itu juga, saya mengasingkan diri secara sendiri dengan mengisi tengah malam untuk berada di Masjidilharam. Sedih hati saya kerana telah membuat kakak terluka dan saya tidak berjaya memujuknya. Saya menangis di malam itu dihadapan Kaabah.

Sehingga kakak (sulong) mengejutkan tidur saya pada pagi itu selepas solat subuh (memaklumkan tentang kerusi roda hilang), baru saya tersedar Allah telah menghukum saya dengan menghilangkan kerusi roda itu. Tanpa menunggu lama, saya terus berjumpa kakak dan meminta maaf padanya sekiranya saya telah mengguris hatinya. Kami saling bermaafan disebabkan hal ini. Sepanjang pagi itu sehingga menunggu solat zohor (solat Jumaat) kami berdoa semoga Allah kembalikan semula kerusi roda Mak. 

Ketika saya dan anak buah turun dari lift mahu makan tengahari selepas solat zohor (Wanita tidak digalakkan untuk bersolat Jumaat di Masjidilharam, jadi kami hanya bersolat zohor di bilik sahaja). Apabila pintu lift terbuka, seorang lelaki iaitu Bapa saya sendiri sedang menyorong kerusi roda Mak. Bagaikan orang terkena renjetan letrik saya dan anak buah menjerit gembira bercampur sedih. Abah kata abah jumpa kerusi roda Mak di tangga. Sedangkan saya dan keluarga sudah mencari segenap ruang dan tangga hotel, tetapi kami tidak menjumpainya. 

Itulah kuasa Allah dan ujiannya pada saya dan keluarga. Benar kata orang jangan berbuat sesuatu yang Allah murka ketika di tanah suci. Balasannya akan terlihat pada masa itu juga. Semoga Allah ampunkan segala dosa saya dan keluarga.

12 Mei 2015 (Selasa)

Seperti biasa jam 3.30 pagi saya dan keluarga akan bangun untuk bersiap ke Masjidilharam untuk bersolat subuh berjemaah (jam 4.40 masuk waktu Subuh di Mekah). Hari ini selepas bersarapan kami mengerjakan tawaf wida'. Pastinya inilah lambaian terakhir kami kepada Kaabah. Moga lambaian ini akan memanggil kami lagi untuk datang lagi.
Di sini, semua manusia punya tujuan yang sama, mahu menyucikan hati. Semuanya berlumba-lumba untuk mendapat keampunan dari Allah. Berlumba-lumba mengisi masa yang terluang dengan berzikir, mengaji, solat sunat dan solat berjemaah di Masjid. Semua perkara yang jarang dapat saya lakukan ketika di tempat sendiri. Alangkah indahnya jika saya dapat meneruskan keadaan ini jika saya pulang nanti. 

Jam 11 pagi kami sudah berkumpul untuk meninggalkan Kota Mekah dan menaiki kapal terbang pada jam 8 malam. Kami tiba di lapangan terbang KLIA iaitu pada jam 11 pagi. Kami berpisah di sana dan saya pulang ke rumah. 

Sabaik sampai di rumah saya mandi dan bersolat zohor, seterusnya baring melelapkan mata sementara menunggu waktu asar (sambil set jam pada 4.30 petang). Malangnya saya terjaga pada jam 9 malam. Alangkah berdosanya saya sebaik kembali dari umrah saya telah meninggalkan 2 solat wajib.

Itulah dugaan pertama saya susudah kembali di sini. Saya percaya selepas ini akan banyak lagi cabaran dan godaan dunia yang perlu saya lalui. Saya mohon pada Allah semoga saya sentiasa istiqamah dalam perbuatan saya. 
Sekali lagi saya ingin nyatakan tujuan saya menulis cerita ini bukan untuk menunjuk apa yang saya perolehi. Ambillah pengajaran dan pedoman jika ada. Jika saya berdosa, maafkanlah saya.




*******************************************************************************************************
 Walau sebanyak mana wang & hadiah yang pernah saya beri pada mereka, tidak akan setanding dengan nikmat kenangan memimpin tangan mereka melakukan tawaf  di Masjidilharam... 
Mungkin seumur hidup saya akan dapat sekali itu jua...
Terima kasih Allah kerana memberikan nikmat ini...
Semoga Mak & Abah sentiasa bahagia di dunia & akhirat. Amin...

 ********************************************************************************************************

2 comments:

  1. Assalamualaikum Suhaiza, sukanya kakak baca coretan mu dik...rasa seperti nak menitis airmata...akak akan menunaikan umrah hujung tahun ini...semuga coretan ini akan memberi sedikit pedoman dan kekuatan buat akak...:') terima kasih....

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah selamat mengerjakan umrah dengan membawa kedua ibu bapa.. Besar pahala tu insyaAllah..

    1 lagi, bertakung air mata baca dugaan di kota Mekah dengan kehilangan kerusi roda Mak.. Sesungguhnya benda tu terjadi bukan dalam kawalan kita, kita pun tak sangka dari perbuatan kita orang lain terasa hati..
    Tapi apapun syukur Allah kejutkan kita di sana supaya bila balik Malaysia tak ada hati yg terluka, kan.

    ReplyDelete