Digital clock

Thursday, July 4, 2013

Peristiwa di Hari Ulang Tahun Perkahwinan Ke-5 Tahun 2013

Tanggal 15 Syaaban merupakan hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-5. Teringat saya ketika 5 tahun yang lalu, ketika memilih tarikh untuk melangsungkan hari pernikahan dan persandingan. Tentunya saya ingin memilih hari dan bulan yang baik untuk bergelar isteri kepada suami Nadzri bin Harun. 




Kenangan yang tak dapat saya lupakan adalah kerana pada tarikh tersebut terdapat segelintir tetamu yang hadir berpuasa sempena mengambil berkat bulan syaaban. Bila tetamu dan sanak saudara berjumpa mak dan abah untuk bersalaman, ramai yang bertanya kenapa memilih hari tersebut dan ada yang terpaksa tidak berpuasa pada hari tersebut kerana memenuhi undangan perkahwinan saya. Bukan kerana perkahwinan saya mereka memilih untuk tidak berpuasa, tetapi sebagai menghormati jemputan dan makanan yang telah disajikan. Bahkan perkahwinan saya merupakan yang terakhir sebagai anak bongsu (ke-9) keluarga Halidi bin Hashim. 





Pengapit saya " Suziana binti Rahmat"

Sahabat-Sahabat yang saya sayangi




Seminggu sebelum tarikh 15 Syaaban, saya ingin mendapatkan reaksi dari suami sama ada dia mengingati tarikh tersebut atau tidak. Seperti yang dijangka, dia tidak ingat langsung tarikh tersebut. Sekadar mencuba-cuba menyatakan tarikh itu dan ini. Suami memang ingat tarikh perkahwinan kami dalam tarikh orang putih tetapi bukan dalam tarikh bulan Islam. 

Perbincangan dengan suami untuk meraikan hari anniversary kami dan kelahiran Muhammad dalam tarikh orang putih 25 Jun (2 Rejab dlm bulan Islam) dengan keluarga telah dirancang. Walau bagaimanapun, perancangan Allah itu mendahului dari segalanya, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Ketika saya sedang bersiap-siap untuk membuat persiapan, suami menghubungi saya dan meminta agar saya mengemas pakaian untuk pulang ke kampung suami di Alor Setar pada jam tersebut. Ketika dia memaklumkan bahawa abang ipar nya meninggal dunia, saya sangat terperanjat tetapi saya langsung tidak bertanya apa-apa padanya. Saya percaya dia juga dalam keadaan yang sama, jadi saya tidak mahu bertanya lebih kerana bimbangkan perasaan dia ketika itu.

Tanpa berlengah, saya mengemas sejumlah pakaian yang saya tidak tahu akan bercuti sampai bila kerana saya juga langsung tidak bertanya kepada suami ingin pulang berapa hari ke kampung. Tepat jam 12.30 tengah hari kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan Jerebu menuju ke Utara tanah air. Semasa dalam perjalanan ketika suami sudah kelihatan agak tenang, saya mengambil peluang untuk bertanya perihal kematian tersebut. Katanya demam dan sebelum itu keadaan kencing manis nya yang agak tidak stabil. Dengan kelajuan 120-150 km/j kami tiba di kampung tepat jam 5.30 petang. 

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan peristiwa kematian yang pertama dalam keluarga  terdekat saya meskipun yang meninggal itu merupakan biras saya. Saya dapat merasakan suami amat terasa dengan kehilangan abang ipar kerana mereka sangat rapat. Dia kata Abang Zul banyak mengajar dia erti hidup, dia selalu membantu abang zul berniaga di pasar malam. Jenazah Abang Zul lewat dikebumikan disebabkan anak perempuan sulung yang sedang belajar di Johor ingin menatap wajah ayah untuk terakhir kali. Abang Zul selamat dikebumikan pada jam 12 tengah malam. Tiada siapa sangka hari tersebut abang zul akan meninggalkan kami semua di hari 15 Syaaban yang saya nantikan.

Hampir 5 hari kami di kampung dan pada hari Jumaat selepas menunaikan solat Jumaat kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur yang kelihatannya cuaca agak mendamaikan. Tiada lagi jerebu bahkan pelangi petang yang indah mengiringi perjalanan pulang.


Pada malamnya, sekali lagi saya bertanya kepada suami sama ada dia mengingati tarikh istimewa pada 15 Syaaban yang lalu. Dia telah menyerah kalah dan berjanji akan ingat sampai bila-bila jika saya beritahu tarikh tersebut. Kemuadian... saya berikan dia sebuah kad jemputan untuk tatapan dia seketika...




Kini, tarikh 15 Syaaban akan menjadi kenangan buat dia sampai bila-bila. Ianya bukan sahaja hari bahagia kami tetapi hari pemergian seorang abang ipar yang dia sayangi. 


No comments:

Post a Comment