Digital clock

Thursday, April 25, 2013

KaTa-KaTa FITNAH


Setiap hari jika ada kesempatan saya tidak akan melepaskan peluang menyemak akaun facebook. Saya begitu gembira apabila melihat khabar berita insan-insan dan rakan-rakan yang disayangi. Bukan sahaja luahan perasaan bahkan menu-menu masakan yang sentiasa membuat saya berperang dengan nafsu. Lebih seronok lagi bila ada rakan-rakan dan keluarga yang menghantar peringatan dan nasihat yang amat berguna melalui gambar-gambar kiasan yang menarik dan teguran yang berlapik sememangnya memberi kesan dihati.

Akan tetapi, saya juga berasa sedih jika ada kata-kata yang kurang sedap dibaca. Pelbagai cerita yang belum tentu benar tersebar secara meluas di laman facebook. Tambahan lagi ketika musim Pilihanraya yang bakal berlangsung. Bukan sahaja di facebook, ia berlaku dalam pelbagai jaringan telekomunikasi yang serba canggih di abad ini.

Keadaan ini menimbulkan rasa yang kurang senang apabila info atau berita yang disampaikan wujud unsur FITNAH. Dalam erti kata yang mudah difahami fitnah merupakan tuduhan, khabar, kisah, cerita dan lain-lain yang diada-adakan (dibuat-buat) yang belum tentu kebenarannya bertujuan untuk memburukkan seseorang sama ada secara sengaja atau tidak. Terjadi juga dalam keadaan sedar, apabila kata-kata yang diluahkan  sebagai 'pendapat peribadi' mengandungi unsur cacian dan hinaan kepada sesama manusia, sesama ISLAM dan lebih teruk lagi kepada seorang ULAMAK. 

-Saya ingin tegaskan di sini, kenyataan  saya tidak sama sekali menyentuh mana-mana parti politik, cerita ini adalah mengenai kebimbingan saya terhadap kata-kata yang berunsur Fitnah-

Teringat saya tentang peringatan dari Rasulullah S.A.W mengenai tanda-tanda berlakunya hari kiamat (Hari Pembalasan) iaitu apabila terjadinya berbagai-bagai fitnah sehingga akan mengancam keimanan umat Islam. 

Dosa melakukan fitnah merupakan dosa sesama manusia. Oleh yang demikian, dosa fitnah tidak akan diampunkan oleh Allah selagi mana orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan tersebut

Dalam kesempatan hidup saya ini, saya ingin berkongsi Kalam Allah buat peringatan kita semua sebagai hambaNYA yang sering melakukan kesilapan demi kesilapan (peringatan khusus buat diri saya)  dalam Surah Al-Hujurat yang saya nyatakan dalam bentuk persoalan.

1. Apa yang perlu kita lakukan jika datang suatu cerita, berita, kisah, gosip dan seumpamanya?

Firman Allah:

"Wahai orang yang beriman (merujuk kepada semua umat Islam), jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik dahulu kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (terhadap perkara tersebut) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah Al-Hujurat : Ayat 6)

2. Apa yang perlu kita lakukan jika di antara saudara sesama Islam kita sedang bertengkar, berbalah, berbeza pendapat?

Firman Allah :

"Dan jika dua pihak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap orang lain, maka lawanlah dengan puak yang zalim sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta adillah kamu dalam segala perkara. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

3. Benarkah kita umat Islam bersaudara? 

Firman Allah :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka hendaklah kamu berbaik-baik antara satu sama lain dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat daripada Allah... Dan janganlah kamu berpecah belah atau bercakaran antara satu sama lain, kelak kamu akan lemah dan hancur dan dengan itu juga akan hilanglah kekuatan dan kekuasaan kamu"...

***Jika bersaudara, Mengapa kita ingin menyakiti hati orang lain? Pepatah Melayu menyebut, cubit peha kanan, peha kiri akan terasa juga. Mungkin kita beranggapan saudara seagama tidak sekuat dan sekukuh pertalian darah. Dengan anggapan itu, kita punya HAK untuk mencaci dan menghina orang lain. Malangnya, tidak semua pertalian darah mempunyai ikatan kasih sayang yang erat sekiranya hati bertuhankan nafsu.

4. Kenapa kita semua (manusia) diciptakan di bumi ini? (Allah merujuk kepada seluruh manusia yang ada di bumi ini).

Firman Allah :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu"

***

5. Ujian datang dalam bentuk kenikmatan dan kesengsaraan dalam keadaan kita sedar dan tidak. Kenapa orang Islam sentiasa diuji?

Firman Allah :

"Orang-orang Arab berkata; "Kami Telah Beriman". Katakanlah wahai Muhammad : "Kamu Belum Beriman", (Janganlah berkata demikian), sementara keimanan belum lagi meresap ke dalam hati kamu. Berkatalah sahaja "Kami Telah Islam". Dan ingatlah, jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (Zahir dan Batin) Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani".

*** Bagaimana diri kita bila diuji dengan kesengsaraan, kelaparan, kegagalan... tentu syaitan akan berbisik agar hati menyatakan... "Mengapa Aku? Kenapa Tidak Orang Lain? Allah tidak sayangkan aku? Kenapa Taqdir Aku begini? - Sedangkan dalam dimensi yang lain, insan yang diuji adalah insan yang terpilih di sisi Allah untuk dinaikkan martabat dan darjat disisiNya agar kita dapat memilih mana-mana pintu syurga yang kita ingin masuki. Malangnya, tidak ramai yang melihatnya dalam dimensi yang berbeza... (Begitu jua diriku, saat diuji dengan kegagalan). 

Kenapa orang Islam sentiasa diuji? Kenapa orang kafir sentiasa mendapat kenikmatan dan keseronokan di dunia?

Ini kerana, Syurga bukan tempat bagi mereka (orang kafir & menyekutukan Allah). Syurga adalah untuk orang Islam. Untuk ke syurga orang Islam perlu diuji sama ada ia benar-benar beriman pada PenciptaNya. Namun, bagi orang Islam yang mendapat keseronokan dan kenikmatan hidup di dunia ia juga adalah ujian yang lebih besar tanpa disedari.

6. Siapakah yang dikatakan orang yang BERIMAN?

Firman Allah :

"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang bercaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya) tidak ragu-ragu lagi serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Di dalam suruh Al-Hujurat terdapat banyak peringatan mengenai keburukan fitnah yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Boleh layari laman web ini untuk terjemahan maksud surah Al-Hujurat : http://pusatislam.eng.usm.my/quran/terjemahan/49.html

Adalah lebih baik kita berdiam (jika kita tidak mengetahui) daripada menyuburkan dosa fitnah ke dalam hati orang Islam yang lain.


Nauzubillah Min Zalik
(Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).

No comments:

Post a Comment